Tumpuan :
Negeri

Program Gasania Lonjak Nama SK Panggas

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

MATA AYER: Cetusan idea guru yang mengubahsuai bangunan lama menjadi pusat penerokaan dan pembelajaran menyeronokkan berjaya menarik pendaftaran ramai murid pra ke Sekolah Kebangsaan Panggas, dekat sini.

Dinamakan sebagai Program Gasania SK Panggas, pendaftaran murid pra meningkat kepada 16 orang tahun ini, berbanding hanya seorang tahun lalu menjadikan keseluruhan murid di sekolah berkenaan seramai 132 orang.

Program Gasania ini bermula sejak tahun 2020 dan menjadi sekolah pertama di Malaysia yang melakukan inovasi sedemikian.

Menurut guru besarnya, Salmiah Md Ali, program ini diilhamkan kumpulan guru dengan kerjasama warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumninya.

“Impaknya kita dapat lihat selepas dua tahun program ini diadakan. Kami mendapat satu lonjakan ‘enrolment’ murid daripada berada di tahap yang bawah kemudian melonjak, agak tinggi untuk sekolah ini. Sudah pasti perkara ini membuatkan pihak sekolah dan terutama pihak jabatan merasakan ini adalah satu lonjakan yang patut dibanggakan,” katanya kepada wakil TV3 di Perlis.

Bermula dengan suasana gua pada pintu masuk bilik Gasania, program itu mengetengahkan 7 stesen yang berkonsepkan permainan sambil belajar.

Stesen pertama adalah VR Box dimana murid dapat melakukan eksplorasi secara maya menggunakan teknologi realiti virtual VR.

Kemudiannya di stesen kedua, murid dapat merasai pengalaman menaiki ‘roller coaster’ secara realiti maya yang bersesuaian dengan kanak-kanak.

Menariknya, tempat duduk ‘roller coaster’ ini menggunakan kerusi di bilik darjah dengan diletakkan ‘spring’ kereta bagi mencipta kesan belokan dan pemanjatan.

Stesen ketiga pula menekankan kemahiran motor halus dan kasar murid, iaitu antara silibus asas kepada murid pra.

“Kita nampak macam permainan remeh menggunakan butang baju saja, tetapi pergerakan motor halus mereka ini penting untuk jari jemari mereka. Aktiviti membutang baju ni salah satu aktiviti yang dapat menguatkan motor motor halus mereka untuk mereka gunakan apabila mereka hendak menulis nanti, ” kata Suzana Sulaiman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Panggas.

Stesen kelima pula ialah ‘Medical Zone’, manakala stesen keenam ialah Alam Ciptaan dan Binaan.

Ia merupakan kesinambungan dari stesen pertama, dimana murid dapat mengaplikasikan idea mereka melalui visual yang dilihat sewaktu menggunakan teknologi VR.

Stesen terakhir adalah Kidzy Cafe, yang menjadi pilihan kebanyakkan murid perempuan.

Sambil bermain, murid dapat mempelajari teknik susunan menggunakan permainan bahan masakan yang disediakan.

Program Gasania dibuka kepada seluruh murid sekolah itu, namun tumpuan diberikan kepada murid pra.

Mereka dibenarkan berada di bilik itu selama satu jam, setiap minggu.

Program Gasania yang turut merangkumi elemen pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berjaya dilaksanakan dengan modal keseluruhan hampir RM 5,000, hasil sumbangan pelbagai pihak.

Kebanyakkan item yang digunakan adalah barang kitar semula, selain sumbangan warga sekolah dan NGO.

Loading...
Terkini