IPOH: Mesyuarat EXCO kerajaan negeri akan membincangkan kadar royalti dan beberapa ketetapan lain daripada projek rintis perlombongan nadir bumi ‘lantanid’ di Mukim Kenering, Gerik, Hulu Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata walaupun dua kelulusan terakhir bagi kebenaran merancang bersyarat yang ditetapkan Majlis Daerah Gerik (MDG) untuk projek itu sudah diperoleh, kerajaan negeri masih perlu membincangkan beberapa perkara lain.
Dua kelulusan terakhir berkenaan membabitkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).
“Biarpun kebenaran merancang sudah diperoleh, perkara itu akan tetap diangkat ke mesyuarat EXCO negeri dalam masa terdekat sebelum operasi perlombongan bermula.
“Ia bagi membincangkan kadar royalti dan beberapa ketetapan lain daripada kerajaan negeri, sebelum syarikat perlombongan boleh memulakan operasi. Maksudnya, kalau dulu kita tunggu MDG beri kebenaran merancang bersyarat, sekarang masih perlu dibawa ke mesyuarat EXCO.
“Kalau ikut kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dalam masa terdekat ini, daripada (mesyuarat) EXCO, akan kita luluskan bagi membolehkan syarikat berkenaan memulakan operasi (perlombongan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi dilapor berkata, sebanyak 1.687 juta tan sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM90.5 bilion, dianggarkan mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan lantanid.
Media sebelum ini turut memetik Saarani berkata, projek rintis perlombongan nadir bumi itu, dijangka dilaksanakan pada bulan ini.- BERITA HARIAN