Tumpuan :
Negeri

Kes Dera Kanak-Kanak Melibatkan Keluarga Terdekat – EXCO Melaka

Oleh Baharuddin Mohamed

EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Kalsom Noordin melancarkan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak peringkat negeri di Bachang, hari ini.

MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka merekodkan sebanyak 88 kes penderaan kanak-kanak sejak awal tahun ini hingga Ogos lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, angka itu dilihat membimbangkan apabila sebahagian besarnya melibatkan penderaan fizikal.

“Mengikut pecahan, 51 kes atau 57 peratus daripada jumlah itu adalah kes penderaan fizikal manakala baki 37 lagi adalah secara seksual.

“Polis juga merekodkan sebanyak 43 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak peringkat negeri di Bachang, di sini, hari ini.

Menurut Kalsom, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan peningkatan melebihi 50 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan 17 kes.

Beliau berkata, kes yang direkodkan melibatkan pelaku dalam kalangan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, pihak taska dan pusat jagaan.

“Kesemua kanak-kanak malang ini kita selamatkan dan kita percaya kejadian ini didorong oleh pelbagai faktor terutama emosi si pelaku yang terdiri daripada pelbagai pihak.

“Ada kes berlaku di mana ibu bapa tidak dapat mengawal kemarahan dan telah melampiaskan tekanan itu ke atas anak mereka,” katanya.

JKM juga tambahnya menyediakan rumah transit bagi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga yang memerlukan perlindungan sehingga kes dapat diselesaikan.

Loading...
Terkini