SEREMBAN: Jenazah bekas Ketua Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mustaza Mohd Yusof, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung LBJ, Labu pada kira-kira 11.15 malam tadi.
Terdahulu, jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Abrar Kuala Terengganu, Terengganu sebelum sekali lagi disolatkan di rumahnya di Kampung LBJ di sini.
Lebih 100 ahli keluarga, sanak saudara, rakan dan penduduk kampung hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Nurezzatul Aqmar, 34, berkata ayahnya sebelum ini menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis selain pernah terkena minor strok pada 2016 namun keadaan kesihatan beliau beransur baik selepas itu dengan rawatan berkala yang dilakukan.
“Kami ke Terengganu untuk bercuti di Pulau Redang… Papa sempat masuk pulau empat jam kemudian dia mula muntah-muntah sebaik sampai dan disebabkan keadaannya semakin teruk, kami bawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum ke hospital.
“Sebelum pemergiannya, saya perasan dia lebih banyak diam masa kami ke Terengganu pada Sabtu lepas tapi saya ingatkan dia penat. Kami pun tidak jangka dia muntah-muntah itu rupanya petanda dia nak pergi, memang kehilangan yang amat besar namun kami reda,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.
Mengenai keperibadian Allayarham, Nurezzatul Aqmar berkata Mustaza seorang yang tegas namun penyayang dan beliau sangat disayangi cucu manakala rakan-rakan mengenalinya sebagai individu peramah serta menyenangkan.
Mustaza, yang menghembuskan nafas terakhir akibat darah beku dalam paru-paru di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira 5 pagi, meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.
Beliau berkhidmat dengan Bernama selama 38 tahun sebelum bersara wajib pada 5 Dis 2020 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pengurus Gred di Bahagian Perkhidmatan Langganan, Jabatan Komersial.
Allahyarham mula bertugas di agensi berita itu pada 1 Nov 1982 sebagai Jurufoto.-BERNAMA