GEORGETOWN: Tiga nelayan termasuk dua warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang di sini, tengah malam tadi, kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.
Mereka ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan rutin di kedudukan 2.5 batu nautika barat Gertak Sanggul di sini, pada jam 12.20 tengah malam.
Pengarah APMM Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mereka ditahan ketika menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika.
Katanya, pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan tekong warga tempatan dan dua warga Indonesia.
“Mereka berusia antara 49 hingga 56 tahun dan dua warga asing terbabit memiliki kad pemastautin tetap. Bot nelayan itu juga berpangkalan di Batu Maung di sini,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Abd Razak berkata, bot dan nelayan bersama 150 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini, bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.
“APMM terus memantau aktiviti pelanggaran syarat sah lesen dari semasa ke semasa termasuk lain-lain aktiviti haram,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.- HARIAN METRO