Tumpuan :
Nasional

Wujudkan Pengesahan Pakar Untuk Ubat Dalam Talian

Oleh Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: Sejak isu kekurangan ubat-ubatan berlaku di pasaran, penjual dilihat ghairah mengambil kesempatan menjual produk perubatan dan kesihatan di platform e-dagang dan media sosial.

Tindakan seperti ini seolah-olah mengambil alih tugas pakar yang bertanggungjawab, kerana membabitkan kesihatan pengguna dan risiko keselamatan pengguna.

Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, semua pengendali platform e-dagang perlu mengambil langkah bagi memastikan perniagaan itu terkawal dengan mewujudkan pengesahan pakar..

Ini bagi mewujudkan ekosistem e-dagang yang selamat.

Menurut Amrahi, penjualan ubatan secara dalam talian sudah lama diperkenalkan dan ia bukannya asing untuk pengguna mendapatkannya.

Bahkan ia dilihat lebih mudah dan menjimatkan masa lebih-lebih lagi ketika negara berkurung akibat dilanda pandemik COVID-19 sebelum ini.

Salahnya apabila produk yang diniagakan itu tidak berdaftar dan terlarang.

“Tapi ada baiknya ada kesederan tentang kesihatan. Nak dapatkan ubat yang betul cuma ada isu lain yang perlu kita buatlah. Ini maknanya diluar daripada kebiasaan, satu benda yang baharu dan ini yan saya rasa kita perlu ketengahkan. Literasi kesihatan perlu dipertingkatkan,” katanya kepada Buletin TV9.

Beliau mendakwa pihak penguatkuasaan sedia maklum mengenai segelintir pihak yang mengambil kesempatan menjual produk kesihatan sewenangnya.

Bahkan langkah menurunkan iklan sama ada di jalanan atau dalam talian yang bertentangan dengan peraturan Lembaga Iklan Ubat giat dilakukan.

Namun, ada juga yang terlepas menembusi pasaran di platform e-dagang dan media sosial.

Justeru, peranan itu tidak seharusnya diletakkan kepada pihak penguat kuasaan semata-mata.

Pengendali platform e-dagang juga bertanggungjawab dalam isu membabitkan risiko kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Kerjasama strategik perlu diwujudkan bersama pakar perubatan dan pihak farmasi.

“Ini bukan tanggungjawab KKM, kita kena ingat MCMC pun main peranan juga maknanya orang disana pun begitu juga. Begitu juga kalau nak kaitkan dengan pengendali platform Shopee ke Lazada patutnya main peranan jangan harapkan KKM. Saya sarankan adakan ahli farmasi disitu,” ujarnya.

Loading...
Terkini