Tumpuan :
Nasional

TNB, Sedania Jana Tenaga Air Lebihan Empangan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan cabang “Tenaga Lestari” Sedania Innovator Bhd (SEDANIA), Sedania Technologies Sdn Bhd menjalin kerjasama menilai potensi menjana tenaga daripada air lebihan empangan dan takungan air di seluruh Malaysia.

Melalui perjanjian kerjasama itu, Sedania akan menggunakan turbin mikro kuasa hidro TNBR yang cekap tenaga untuk menjana elektrik daripada air yang dilepaskan di empangan.

Dalam satu kenyataan bersama, syarikat berkenaan berkata, setiap satu daripada 30 hingga 40 kilowatt turbin mikro kuasa hidro boleh menjana sehingga sekitar 305,000 kilowatt-jam tenaga hijau setahun.

“Dengan lebih 70 empangan dan takungan air di seluruh Malaysia, potensi daripada sumber tenaga mikro hidro tersebut dianggarkan melebihi 40 gigawatt-jam setahun, cukup untuk membekalkan tenaga elektrik bebas karbon kepada kira-kira 10 ribu rumah.

“Projek sulung dua rakan kongsi ini dilaksanakan di empangan Kota Tinggi, Johor. Sedania telah dianugerahkan oleh syarikat minyak dan gas multinasional untuk menilai dan mencadangkan kebolehlaksanaan menggunakan turbin mikro kuasa hidro yang cekap tenaga untuk menjana tenaga elektrik daripada air lebihan empangan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab Sedania merangkumi aspek kewangan dan teknikal projek manakala TNBR menyumbangkan kepakaran teknikal melalui reka bentuk dan pemasangan turbin mikro kuasa hidro.

Mengulas mengenai potensinya, Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata: “Bersama-sama dengan TNBR, kami berhasrat untuk melengkapkan empangan di Malaysia dengan turbin mikro kuasa hidro yang cekap tenaga, bagi membolehkan semua pelanggan kami menggunakan air lebihan empangan sebagai sumber tenaga.

“Malaysia harus menjadi medan teknologi hijau buatan Malaysia dengan rekod prestasi mencapai kelestarian tenaga. Sebagai organisasi yang komited kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan visi untuk membantu syarikat mengurangkan jejak karbon mereka dengan terlebih dahulu membolehkan penggunaan tenaga yang cekap sebelum beralih ke fasa penting penjanaan tenaga bersih, Sedania berada pada kedudukan yang strategik untuk mempercepatkan agenda kelestarian dengan sokongan TNBR.”

Sementara itu, Pengarah Urusan TNBR, Dr Mohd Hariffin Boosroh mengulas bahawa, TNB memperjuangkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan inklusif dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

Dengan matlamat itu, TNB melabur dalam teknologi hijau baharu seperti turbin kuasa mikro hidro cekap tenaga ini yang menjadi hasil penyelidikan kami di TNBR.

“TNB tidak boleh melaksanakan inisiatif ini sendiri dan berharap untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang strategik. Usaha sama ini menggambarkan bagaimana kerjasama penyelidikan dan industri memainkan peranan yang berpengaruh dalam pembangunan penyelesaian yang inovatif dan lestari untuk Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, memandangkan teknologi itu dibangunkan di Malaysia, ia juga akan memberi manfaat kepada industri tempatan dalam pengilangan, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan turbin kuasa hidro mikro, dan seterusnya menggerakkan masyarakat tempatan keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dengan beralih kepada nilai, teknologi dan ekonomi berkemahiran yang tinggi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini