Terkenal dengan kebolehan melakonkan dan menggayakan suara bagi watak ‘Atan’ dan datuknya ‘Atok’ serta rakan pelbagai bangsa, Datuk Jamali Shadat adalah seniman dan penghibur yang tiada galang gantinya.
Jamali Shadat atau Pak Jamali turut berkebolehan meniru pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil.
Dilahirkan pada tahun 1942 di Bukit Kapar, Klang, beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik.
Pak Jamali bergiat aktif dalam persembahan-persembahan pentas yang dijayakannya sejak tahun 1970-an sehingga kini.
Beliau mula menempa nama dalam industri seni tanah air selepas muncul naib juara dalam satu pertandingan BAKAT TV terbitan RTM pada tahun 1971.
Jenaka Pak Jamali semakin mendapat perhatian bukan sahaja di kaca televisyen, malah radio, gramofon, kaset dan CD.
Apa yang menjadikan Pak Jamali istimewa kepada rakyat Malaysia?
Kebolehannya yang menyatukan masyarakat majmuk Malaysia di segenap lapisan usia serta membawa gelak ketawa dan senyuman.
Kekuatan persembahan Pak Jamali – diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya yang bergaul dengan pelbagai bangsa dan suku kaum, agama dan budaya, sebelum bergelar anak seni.
Kesihatan Pak Jamali mula terjejas selepas kematian isterinya Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada hari pertama Syawal pada tahun 2018.
Hari ini (3 Februari 2021), negara menerima berita menyedihkan, apabila pelawak legenda negara ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Takziah kami ucapkan buat keluarga Pak Jamali.
Pastinya ramai yang akan merindui ‘Atan’, ‘Atok’ dan rakan-rakan.