Tumpuan :
Nasional

Sistem Monetari: Cukup Beranikah Negara Dunia Lain? 

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai. – FOTO: NSTP

Oleh Salina Zakaria

PETALING JAYA: Beranikah negara-negara lain di dunia melakukan perubahan besar terhadap struktur monetari yang ketika ini di dominasi Amerika Syarikat menerusi dolar Amerika?

Demikian persoalan ditimbulkan Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan suatu mekanisme kerjasama monetari antarabangsa.

Katanya lagi sekiranya perubahan besar itu mampu dilaksanakan, kebergantungan terhadap dolar dapat diatasi selain pemulihan ekonomi mampu berkembang lebih pesat bagi negara-negara yang terjejas.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai dasar monetari, beliau berkata dominasi USD menerusi dolar adalah sistem monetari di dunia ketika ini.

Monetari juga katanya suatu sistem pertukaran asing perdagangan dan rizab mata wang.

Kesannya amat ketara kepada penurunan nilai ringgit susulan kelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat dan proses pemulihan ekonominya.

Justeru suara Malaysia agar menghapuskan kuasa veto sebagaimana dizahirkan Datuk Seri Ismail Sabri di persidangan UNGA ke-77 di New York semalam, satu tindakan berani.

“Amerika Syarikat menyatakan bahawa mata wang USD adalah mata wang dunia tetapi dipihak lain mereka menyatakan mata wang USD adalah untuk rakyat AS sahaja, kesannya AS telah menjejaskan kestabilan ekonomi seluruh dunia.

“Kita perlu mengurangkan dominasi USD bagi membolehkan kita lari daripada kesan polisi dilakukan Amerika dan ini cuba dilakukan pemimpin dunia, bekas pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi dan mereka berakhir dengan kehilangan hayat misalnya,” katanya kepada TV3 hari ini.

Persoalan yang perlu ditimbulkan beranikah negara-negara lain di dunia untuk melakukan perubahan bagi menstabilkan mata wang masing-masing dan mengurangkan kebergantungan kepada dominasi USD.

“Jika perkara ini dapat dilakukan semua negara di dunia kita boleh bebas daripada tekanan dan kongkongan USD dan negara Amerika Syarikat,” katanya.

Malaysia di Perhimpunan PBB semalam menyuarakan agar wujud suatu mekanisme kerjasama monetari antarabangsa.

Langkah ini bagi membina sistem yang lebih efektif, adil, serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat, selain keperluan mengatasi kepincangan sistem tadbir urus global.

Loading...
Terkini