Tumpuan :
Nasional

Sastera Gagal Sebagai Alat Perpaduan

FOTO: Facebook IDS

KOTA KINABALU: Sastera di Malaysia gagal menjadi alat perpaduan sesama masyarakat kerana cabaran ekosistemnya menciptakan jurang besar antara kaum.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Profesor Madya Ts Dr Ramzah Dambul menyifatkan hal ini adalah antara cabaran ekosistem yang menyukarkan sastera menjadi wahana perpaduan sebagaimana dikehendaki Dasar Sastera Kebangsaan (DSK).

Mengulas lanjut, beliau berkata DSK yang dilancarkan pada tahun 1971 adalah sebahagian reaksi kepada tragedi hitam, 16 Mei. Justeru sastera digunakan antara lain sebagai sebahagian kaedah untuk memperkukuhkan perpaduan.

“DSK sepatutnya menghasilkan sastera kebangsaan Malaysia yang menuju ke arah perpaduan supaya jurang antara kaum dapat diatasi. Namun sayang, ia tidak didefinisikan dan diimplementasikan dengan betul.

“Saya bagi contoh dalam Dasar Sastera Kebangsaan, sebenarnya apa yang dikatakan sebagai sastera kebangsaan ialah sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu, mempromosikan perpaduan dan berlandaskan kepada Rukun Negara.

“Namun apa yang berlaku? Sebahagian pemain sastera menggubah definisi dan implementasinya apabila mereka mengatakan sastera kebangsaan itu adalah sastera yang berpaksi kepada budaya Melayu dan agama Islam semata-mata,” katanya dalam dalam siri Kuliah Penyelidikan Sastera yang disiarkan menerusi laman sosial rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Hal ini tegas Ramzah dari sudut praktisnya tidak betul namun berlaku dengan begitu meluas.

Sastera juga katanya, berhadapan cabaran lain dalam menjadi wahana perpaduan kerana ceteknya pembudayaan sastera dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Secara peribadi katanya, pembudayaan sastera di Malaysia masih terikat dengan kaedah zaman 70-an dan 80-an, sedangkan landskap sastera pada zaman kini sudah terlalu banyak mengalami perubahan.

Tambahnya, hal ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan pembudayaan sastera di Indonesia, apabila pelbagai jenis buku dan genre diangkat dan menjuarai pengiktirafan hingga di peringkat kebangsaan.

“Pembudayaan konservatif ini seterusnya menyebabkan wujudanya ‘penubuhan’ (establishment) sastera.

“Ia membabitkan pihak yang mempunyai mandat dan kuasa dalam ekosistem sastera sama ada agensi kerajaan atau persatuan sastera peringkat nasional atau negeri. Keadaan ini menjadikan sastera itu masih bersifat selektif,” katanya.

Menurutnya, hal sebegini menyebabkan sastera yang diharap berfungsi sebagai wahana perpaduan gagal berbuat demikian. Ia tidak berupaya untuk menyatupadukan masyarakat malah ia turut gagal mengangkat atau membabitkan karyawan sastera dalam kalangan generasi muda.

Walau bagaimanapun, Ramzah berkata, beliau tidak menolak pendapat yang menyebut sastera masih berpotensi untuk menjadi instrumen dalam mengeratkan perpaduan namun ia bergantung kepada siapa atau bagaimana ia digunakan.

“Sastera secara fitrahnya memang alat perpaduan. Ia mempunyai ciri-ciri yang mengikat masyarakat. Hal ini jelas boleh dilihat dalam naskhah sastera tradisional juga karya moden.

“Misalnya, dalam sastera lisan masih banyak kisah teladan yang menyebut mengenai pentingnya kesatuan dan perpaduan. Begitu juga kalau kita merujuk peribahasa atau simpulan bahasa,” katanya.

Tegas Ramzah, sastera itu sendiri sebenarnya mewariskan ilmu dan pemikiran bagaimana masyarakat bersatu. Analoginya seperti menggunakan pisau. Secara fitrahnya pisau adalah alat yang membantu dalam kulinari dan akhirnya bergantung bagaimana kita gunakannya. Sebaliknya, jika digunakan dalam pergaduhan ia bukan menghasilkan kulinari yang baik sebaliknya mungkin menghasilkan kecelakaan.

“Saya mahu melihat (sastera) sebagai sektor persuratan. Perbukuan dalam sastera itu sendiri terkandung elemen-elemen berkaitan sosio ekonomi bagaimana untuk mengubah masyarakat, bagaimana menjadi alat pengubah hal berkaitan kemiskinan dan sebagainya.

“Produk yang dikeluarkan dalam bentuk buku sastera dilihat sebagai sektor persuratan besar di mana ia perlu digunakan untuk menjadi ejen perubahan dalam perkara-perkara kehidupan kita seharian,” katanya.

Berikutan itu, Ramzah menyimpulkan antara perubahan yang dituntut dalam memastikan sastera menjadi wahana perpaduan adalah menjadikan sastera sebagai subjek yang merentas bidang.

Selain itu, beliau juga turut melihat keperluan DSK harus diinstitusikan sebagai sebuah dasar yang dikawal dengan akta dengan implementasi yang tepat.

Untuk rekod, DSK dirangka dalam rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 1971. Antara teras utamanya adalah bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dalam sastera dalam melahirkan perpaduan. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini