Oleh Baharudin Mohamed
SUNGAI UDANG: Lebih 200 penduduk diulit kebimbangan ekoran kediaman mereka diancam runtuhan tebing Sungai Bertam Ulu, Melaka sejak setahun lalu dan semakin serius, akhir-akhir ini.
Hujan lebat semalam semakin memburukkan keadaan apabila runtuhan tebing sungai di Kampung Bertam Ulu, dekat sini, kian menghampiri kediaman penduduk.
Ia bukan sahaja mengakibatkan banyak pokok dan tanaman penduduk rebah dihanyutkan air sungai, malah beberapa tanah milik penduduk ’lenyap’ akibat dihakis oleh aliran air sungai deras setiap kali hujan lebat.
Penduduk mendakwa, situasi berkenaan yang mula dikesan sejak tahun lalu itu dikatakan berpunca daripada beberapa projek perumahan dan kilang yang beroperasi di bahagian hulu sungai berkenaan.
Isu berkenaan, ujar mereka, telah diajukan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini tiada maklum balas dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu.
Seorang penduduk, Majid Md Ali, mendakwa, sungai terbabit pada asalnya lurus tetapi menjadi berliku-liku sejak beberapa projek perumahan dibina di sepanjang sungai berkenaan.
“Kejadian hakisan ni sudah lama berlaku, aduan telah dibuat namun tiada tindakan. Hinggalah kejadian semalam hujan agak lebat mengakibatkan runtuhan tanah dan juga pasir. Kami agak risau kerana haluan air dari sungai ini menghala ke tempat lain dia tidak menuju ke saluran yang sebenar. Jadi ia merbahayakan penduduk kampung,” katanya bimbang.
Seorang pengusaha tanaman tebu, Mazlan Ling Hassan, 60, mendakwa, tanahnya seluas 20 kaki persegi telah lenyap ditelan runtuhan terbabit.
“Setiap kali ujan lebat saya memang akan tersedar dan terus ke belakang ini. Kawasan ini ialah pondok tempat saya bersantai dan memproses tebu dan kalau kita tengok separuh daripada pondok saya sudah hanyut dan jatuh ke dalam sungai. Jadi hakisan memang ketara, setiap kali hujan saya akan berhubung sama ada dengan JKK kampung atau pun JPS,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti, JPKK, Bertam Ulu, Roslan Hasan ketika ditemui berkata, masalah penduduk terbabit telah diajukan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS, jelasnya, akan membina tembok penahan di beberapa kawasan yang dikenal pasti berlaku runtuhan tebing di sepanjang Sungai Bertam Ulu bermula hari ini.
“Daripada maklumat yang kita perolehi daripada JPS, memang merekaakan buat tembok di tebing sungai bertam ulu. Terutama di kawasan yang terhakis dan tebing runtuh untuk mengelakkan lebih teruk lagi,” kata Roslan.
Tinjauan di kawasan runtuhan tebing terbabit hari ini mendapati beberapa batang pokok tumbang ke dalam sungai.
Runtuhan itu juga semakin menghampiri kediaman penduduk dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh, SPA.
Dalam pada itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka berkata, keadaan banjir di Melaka semakin pulih apabila mangsa banjir di daerah Alor Gajah, dilaporkan menurun kepada 21 orang sehingga jam 12 tengah hari, tadi.