Tumpuan :
Nasional

RM102.5 Juta Bantu OKU Dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti

MELAKA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM102.5 juta bagi melaksana dan menjalankan program di 568 buah Pertubuhan Pusat Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh Malaysia pada 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan kewangan yang disalurkan kepada PPDK bagi menampung pemberian elaun pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU), sagu hati penyelia, petugas, sewaan premis dan utiliti.

Katanya, ia termasuk bantuan bagi memastikan program dan aktiviti harian berjalan lancar seperti program pemulihan dan pembangunan dengan pembabitan aktif keluarga dan masyarakat setempat.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa berusaha untuk memperkasa dan menonjolkan peranan PPDK sebagai sebuah entiti yang berdikari dalam melaksanakan program.

Katanya, ia dengan cara menggalakkan PPDK berdaftar sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak 2018.

Menurutnya, ia membuktikan kerajaan prihatin dan komited dalam pembangunan OKU di negara ini, namun mereka perlu merebut peluang dan berusaha membangunkan potensi diri.

“Taska OKU pula inisiatif kerajaan dalam memberikan penjagaan dan pengasuhan yang holistik kepada kanak-kanak OKU selari dengan konsep tiada yang ketinggalan dalam menikmati pembangunan negara, “katanya ketika merasmikan Program Pemantapan Sumber Manusia Latihan Fasilitator Insan Berkeperluan Khas (FIBK) di Ayer Keroh.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Rina berkata, sehingga kini, sebanyak 13 Taska OKU ditubuhkan yang memberi manfaat kepada 280 kanak-kanak dengan peruntukan lebih RM1.7 juta.

Ia termasuk Taska IKHLAS kendalian Persatuan Insan Berkeperluan Khas (IKHLAS) selain Ashikin Holdings turut menerima bantuan kewangan operasi Taska OKU berjumlah RM467,240.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini