comscore
Tumpuan :
Nasional

RISDA Plantation Bayar Dividen RM63 Juta Kepada Pekebun Kecil

Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (tengah) menyampaikan cek dalam Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen TSK – FOTO: NSTP

JEMPOL: Seramai 13,075 pekebun kecil sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) seluruh negara menerima dividen Taman Semula Komersil (TSK) hasil keuntungan daripada projek kebun yang diuruskan Risda Plantataion Sdn Bhd (RPSB).

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, berkata dividen TSK antara program pembangunan RISDA dan melalui TSK, pengurusan kebun milik pekebun kecil akan lebih terjaga.

Dengan adanya sistem pengurusan yang cekap, setiap pemilik kebun menerusi program ini akan menerima dividen.

“Secara purata pekebun kecil berkenaan akan menerima dividen berjumlah antara RM632 hingga RM1,000 sebulan bagi tempoh selama lapan bulan dari Januari hingga Ogos dan kami berharap ia memberi kelegaan kepada penerima.

“Dividen diberi berdasarkan keuntungan daripada hasil projek kebun yang diuruskan RPSB secara sistematik di seluruh negara,” katanya pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen TSK.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, RISDA sudah merancang dan menetapkan pelan tindakan Program Pembangunan Hasil Baharu Agromakanan RISDA yang lebih berkesan bagi memperbaiki taraf sosio ekonomi pekebun kecil.Ia membabitkan tiga bidang utama iaitu tanaman jangka pendek, tanaman jangka panjang dan ternakan.

“Selain itu, RISDA turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil yang turut terjejas akibat penurunan harga getah antaranya inisiatif pembangunan komoditi getah seperti bantuan tanam semula, bantuan prasarana asas pertanian dan bantuan tabung pelancaran.

“Inisiatif kedua pula di bawah produktiviti dan pemasaran antaranya bantuan peningkatan produktiviti getah, skim insentif lateks dan bantuan peningkatan produktiviti getah,” katanya.

Bagi inisiatif ketiga, Mohd Salim berkata, ia membabitkan peruntukan dana khas untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pada 2022.

Inisiatif keempat adalah keusahawanan dan agromakanan merangkumi antaranya bantuan pembangunan usahawan, pemasaran produk, aktiviti ekonomi tambahan dan pengembangan perniagaan.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini