Tumpuan :
Nasional

Projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi Atasi Masalah Banjir Di Selangor

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau yang bakal dilaksanakan mulai awal tahun depan dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir di beberapa kawasan di Selangor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM5.6 bilion dan siap menjelang tahun 2028 itu juga mampu meningkatkan rizab margin bekalan air bagi keseluruhan negeri berkenaan.

“Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau akan dilaksanakan di bawah peruntukan ‘off-budget’ (luar bajet) Kerajaan Persekutuan merangkumi dua skop utama.

“Skop pertama iaitu Kolam Takungan Dwi-fungsi Sungai Rasau untuk Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah bagi menyokong Skim Bekalan Air Rasau yang membekalkan air sebanyak 1,400 juta liter sehari untuk kegunaan kawasan Petaling dan Klang.

“Skim Bekalan Air Rasau ini akan membekalkan air kepada 467,000 akaun pelanggan dan memenuhi permintaan sebahagian besar industri utama yang beroperasi dalam daerah Klang serta hab-hab perindustrian lain seperti Taman Perindustrian Pulau Indah, Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang (Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat),” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan akan meningkatkan rizab margin bekalan air keseluruhan negeri Selangor melebihi 15 peratus, malah kolam takungan itu juga berfungsi untuk tebatan banjir ketika musim tengkujuh.

“Sebagai kolam dwi-fungsi, projek ini mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap impak perubahan iklim susulan kejadian banjir buruk yang melanda Shah Alam (Seksyen 13, 17, 20, 23, 24 dan 28) pada Disember tahun lalu.

“Kolam ini mampu mengekstrak sebanyak 26 juta kubik meter air daripada Sungai Klang ketika aliran puncak yang membawa kesan penurunan dianggarkan sehingga 500 milimeter (mm) aras air di bahagian hilir sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2) di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Ujarnya, skop kedua pula adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang melibatkan skop tebatan banjir, pembinaan dinding penahan banjir sepanjang 10 kilometer (km) dan penstabilan tebing sungai sepanjang 15km.

Ia turut melibatkan kerja-kerja naik taraf empat pintu air berserta pam, pembinaan tujuh pintu air berserta pam dan pembinaan alur limpah dari Sungai Klang ke Kolam Banjir Kampung Lombong.

“Projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan USJ1, Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Seri Aman di daerah Petaling, Taman Mas Puchong dan Taman Putra Prima di daerah Sepang serta Pangsapuri Koi Prima di daerah Kuala Langat.

“Komponen tebatan banjir ini juga dijangka dapat mengurangkan kekerapan banjisehingga tahap perlindungan 200 tahun kala purata ulangan (ARI) di Sungai Klang dari kawasan Lanchong Jaya sehingga USJ1 Subang Jaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Tuan Ibrahim berkata, jawatankuasa khas terbabit ditubuhkan bagi memudah cara, menyelaras, memantau dan menyelesaikan isu-isu pelaksanaan projek yang dipersetujui bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Perkara itu adalah susulan daripada keputusan yang dicapai ketika KASA membentangkan kertas pertimbangan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bertajuk Cadangan Pelaksanaan Takungan Air Pinggir Sungai Rasau dan LRAL2F2 pada 10 Ogos lalu.

“Keputusan itu termasuklah menyokong pelaksanaan Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau dan LRAL2F2, selain Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk memudah cara prosedur dan memberikan kelulusan secara cepat (fast track) bagi pelaksanaan kedua-dua projek ini.

“Turut dipersetujui, penubuhan pasukan petugas khas yang akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KASA dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” katanya sambil menambah LRAL2F2 dilaksanakan secara serentak dengan Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau.

Sementara itu, jelasnya, projek LRAL2F2 berupaya meningkatkan bekalan air di Lembah Klang dengan memanfaatkan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) dengan kapasiti 1,890 juta liter sehari (JLH).

Ini sekaligus akan meningkatkan rizab margin bekalan air di Selangor melebihi 20 peratus apabila projek tersebut siap sepenuhnya.

“Secara langsung, LRAL2F2 akan dapat menggunakan sepenuhnya sumber air yang dibekalkan dari Sungai Semantan, Pahang melalui terowong sepanjang 40km yang siap dibina pada tahun 2015.

“Setakat ini penyaluran air tersebut hanya dimanfaatkan melalui LRAL2F1 dengan kemampuan menerima sebanyak 1,130 JLH air mentah dari Sungai Semantan,” katanya.

Loading...
Terkini