KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini, supaya Datuk Lokman Noor Adam dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.
Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Naib Presiden UMNO itu selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan.
“Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”, yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok milik defendan.
“Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada secara sendiri, ejen-ejennya daripada membuat kenyataan yang serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Roz Mawar.
Menurut Kesavan, perintah ex-parte dikeluarkan hari ini sehingga pendengaran inter-parte (dua pihak) pada 26 Sept ini.-BERNAMA