Oleh Amira Suraini Che Mohamad
ARAU: Tidak kisah berselut dan kotor, asalkan dapat ikan.
Itu pengalaman baharu yang dinikmati oleh kanak-kanak melalui acara menggagau ikan dalam Pesta Bendang yang diadakan di Kampung Tebuk hari ini.
Seolah-olah mengembalikan nostalgia lama, kerana suatu masa dahulu acara menggagau ikan menjadi kelaziman buat mereka di kampung, bagi menandakan berakhirnya musim tuaian padi.
Bukan sahaja kumpulan dewasa, acara itu meriah dengan penyertaan kanak-kanak yang tidak kisah berkaki ayam untuk turun ke bendang dengan membawa serkap ikan.
Selain ikan puyu dan haruan, antara yang paling banyak diperoleh peserta adalah ikan keli.
Antara yang teruja menyertai program itu ialah murid SK Changkat Jawi, Arau, Muhammad Ammar Mohd Najib yang hadir sejak awal pagi.
“Saya seronok dapat tangkap ikan keli, saya tangkap sendiri dan ini pertama kali guna serkap.” katanya.
Murid SK Seberang Ramai, Kuala Perlis, Muhammad Daniel Farhan Zulfazli juga seronok kerna julung-julung kalinya menyertai aktiviti seumpama itu.
Menurut Pelajar SMK Syed Hassan, Kangar, Muhammad Hussaini Mahathir, pengalaman itu bukan kali pertama baginya tetapi beliau tetap teruja untuk menyertai acara berkenaan.
“Petang-petang saya duk turun bendang cari ikan, saya dah biasa sudah macam orang bendang.’ katanya.
Selain menggagau ikan, turut diadakan larian dalam bendang dan acara tarik tali, yang turut disertai kumpulan peserta kanak-kanak perempuan.
Apa yang lucu, ada kanak-kanak yang ibarat berenang sewaktu acara larian kerana tidak pernah turun ke bendang.
Walaupun berlangsung sehingga tengah hari, penonton tidak berganjak dan meraikan pesta itu dengan meriah.
Pesta Bendang merupakan program anjuran Pusat Khidmat Guar Sanji dengan kerjasama Ameerah Malaysia.
Selain acara di bendang, turut dianjurkan pertandingan memasak, gelung getah dan acara menampi padi.