MELAKA: Persiapan menjelang Sambutan Hari Malaysia kini mencapai kemajuan 85 peratus dan semuanya berjalan dengan lancar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Katanya meskipun terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan, kerjasama daripada semua pihak berjaya menjadikan persiapan sambutan itu berjalan lancar.
“Daripada raptai ini, kita lihat akan ada sedikit sebanyak penambahbaikan akan dilakukan kerana dalam penganjuran ini ada tradisi yang perlu dikekalkan, terutama sekali refleksi daripada gabungan antara Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan dan raptai sambutan Hari Malaysia 2022 di Banda Hilir, di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin dan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Nordin.
Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 juga berharap pada malam sambutan itu pengunjung akan memeriahkannya dengan mengenakan busana etnik serta versi era 50-an dan 60-an.
“Malah lebih meriah apabila tetamu kehormat juga akan kenakan busana etnik dan ia adalah faktor wau dalam sambutan ini,” katanya yang menasihati pengunjung agar hadir lebih awal ke lokasi sambutan memandangkan beberapa jalan akan ditutup.
Sambutan Hari Malaysia pada Jumaat ini akan berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir dengan menampilkan keunikan tema busana era 50-an dan 60-an yang dipilih bagi meraikan sambutan itu.
Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan julung-julung kali diadakan di Semenanjung itu.- BERNAMA