KUALA LUMPUR: Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat hari ini berdasarkan rekod di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pagi tadi.
Bacaan berkenaan dicatatkan susulan terdapat aktiviti pembakaran terbuka di kawasan pertanian di daerah itu.
Turut direkodkan sebanyak 55 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, manakala 12 kawasan lagi mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik
Justeru, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, menasihati penduduk berhampiran kawasan IPU melebihi 150 supaya mengurangkan aktiviti di luar premis.
“Jika perlu berada di luar rumah atau bangunan, dinasihatkan untuk memakai pelitup muka.
“Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Ia bagi mengelakkan sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Abdul Latiff berkata terdapat enam titik panas di kesan dalam negara iaitu dua di Pahang, Perak (1) dan Sarawak (3).
Ia berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 11 Ogos lalu yang dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20.”Titik panas yang dikesan akan disiasat di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.
Selain itu, katanya titik panas juga dikesan di dua lokaliti di Indonesia merangkumi Kalimantan (97) dan Sumatera (70).Berdasarkan peta jerebu serantau yang ditunjukkan ASMC, terdapat jerebu asap sederhana diperhatikan di sekitar gugusan titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat termasuk di Malaysia iaitu di Sarawak.
Menurut beliau, JAS meramalkan Monsun Barat Daya bermula pada 14 Mei lalu dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan depan yang mana akan menyebabkan taburan hujan yang rendah.”Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain dan menyebabkan taburan hujan yang rendah,” katanya.