Tumpuan :
Nasional

Pemansuhan UPSR, PT3 Beri Ruang Pelaksanaan PBS Lebih Berkesan

Oleh Mieza Shafieza Mohd Fuad

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga, PT3 dalam sistem pendidikan negara adalah bagi membolehkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan lebih berkesan.

Penilaian yang dilakukan menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan membuka ruang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam memperkasakan pencapaian pelajar.

“Selepas lebih 10 tahun, ramai yang kata kita masih belum bersedia untuk PBS. Persoalannya, kalau 10 tahun kita tak bersedia, berapa puluh tahun lagi kita akan bersedia?” soal Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ketika berucap pada Forum Transformasi Pendidikan, hari ini.

Tambahnya, sistem pendidikan negara akan terus berorientasikan dan tertumpu kepada peperiksaan selagi ia tidak dimansuhkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berucap pada Forum Transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di ibu negara hari ini.
FOTO : Mieza Shafieza Mohd Fuad

Secara tidak langsung, keadaan itu memaksa guru-guru untuk terus menumpukan perhatian kepada latih tubi sahaja demi memastikan pelajar mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Justeru, KPM melakukan transformasi setelah melihat dan mendalami pelbagai isu secara menyeluruh bukan sahaja sekadar pemansuhan UPSR dan PT3 tetapi bagaimana untuk melatih para guru menjadi lebih kreatif dengan melihat bagaimana pendigitalan dapat membantu.

Pada 28 April lalu, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan digantikan dengan PBS dan PBD. Sementara pada 2 Jun lalu, KPM turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun ini.

Loading...
Terkini