KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menganjurkan Pameran Kerjaya Maya (VCF) buat julung kalinya yang memfokuskan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dengan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.
VCF itu akan diadakan selama tiga hari dari 28 hingga 30 Sept, bermula 10 pagi hingga 6 petang dengan kerjasama Jabatan Tenaga Manusia, Persekutuan Pekilang Malaysia dan beberapa universiti tempatan serta syarikat ternama.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TalentCorp Thomas Mathew dalam satu kenyataan hari ini berkata pameran kerjaya itu bagi mengisi keperluan bakat dalam sektor E&E.
“VCF ini adalah contoh kami bekerja rapat dengan majikan dan universiti untuk bakat kita mengambil peluang yang ada dan melakar laluan kerjaya untuk diri mereka dalam sektor ini yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Selain itu, peserta boleh berinteraksi dengan majikan melalui sembang langsung, mendapatkan pandangan industri E&E dan menyertai webinar untuk meningkatkan kemahiran kebolehpasaran mereka,” katanya.
Syarikat yang mengambil bahagian termasuk Intel Malaysia, Keysight Technologies, Plexus Technology, TF AMD Microelectronics dan Hoya Eletronics Malaysia.
Untuk mendaftar dan menyertai secara percuma, sila layari www.talentcorp.my/virtualcareerfair. – BERNAMA