KUALA KRAI: Usianya sudah menjangkau 76 tahun, namun Zainab Hussin bukan sahaja memiliki kesihatan dan penglihatan yang baik, bahkan masih mampu memproses seramik secara tradisional sejak lebih lima dekad lalu.
Lebih mengagumkan, hasil seni warga emas berkenaan yang begitu halus memukau pandangan sesiapa sahaja sebaik melihat deretan seramik pelbagai bentuk yang diperbuat daripada tanah liat seperti belanga, bekas bara, buyung, kendi dan periuk.
Barangan itu dilihat tersusun rapi di atas rak yang dijual serendah RM20 hingga RM100 seunit.
Zainab berkata, dia mula menghasilkan seramik ketika berusia 14 tahun dengan mempelajarinya daripada arwah neneknya yang mahir dalam pembuatan seni kraf berkenaan sejak mereka berhijrah ke Kampung Mambong, pada tahun 1950-an.
Katanya, pada peringkat awal, bukan mudah untuk melakukannya kerana dia perlu membentuk arca daripada tanah liat, selain perlu melalui banyak proses.
“Kerjanya agak cerewet, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mudah dan kini dengan kemahiran yang ada, saya hanya mengambil masa kurang 30 minit untuk membentuk satu seramik.
“Bagaimanapun, bagi menghasilkan seramik, ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana kekemasan seni amat dititikberatkan demi kepuasan pelanggan.
“Pada masa sama, ia ibarat terapi bagi diri saya kerana saya berasa tenang dan sungguh gembira setiap kali dapat menyiapkannya,” katanya ketika ditemui di bengkel mininya di Kampung Mambong, di sini, semalam.
Zainab berkata, pembuatan seramik tidak rumit cuma tanah liat untuk menghasilkannya tidak boleh sembarangan dan kerana itu, anaknya akan menggalinya sendiri di satu kawasan tidak jauh dari rumah mereka bagi mendapatkan tanah liat bersesuaian.
Katanya, setiap jenis tanah mempunyai ciri berbeza bagi untuk ia selamat digunakan, terutama bagi peralatan memasak sebelum dibancuh dan diuli membentuk seramik.
“Setiap hari, saya menghasilkan seramik bermula seawal jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari dan dalam sehari saya mampu menyiapkan sekurang-kurangnya lima jenis seramik pelbagai bentuk.
“Penghasilan seramik tidak akan selesai dalam masa sehari kerana ia membabitkan beberapa proses dan setiap proses pula mengambil masa bermula membentuk, mengering, membakar dan menghias.
“Bagaimanapun, proses pembakaran ada kalanya agak mencabar kerana saya menggunakan ‘gok’ untuk membakar seramik. Ia mengambil masa dua jam jika dibakar dalam keadaan api besar manakala lima jam dalam api yang perlahan, namun perlu sentiasa memantau kerana tidak mahu seramik dihasilkan ini rosak,” katanya.
Ibu kepada 10 anak itu berkata, sebelum ini, dia membuat seramik bersama arwah suaminya, Hashim Konok, namun selepas arwah meninggal dunia akibat penyakit asma empat tahun lalu, dia kini melakukan kerja itu bersendirian.
Bagaimanapun, katanya, bakat membuat seramik ini diwarisi oleh seorang anaknya, Siti Aisyah Hashim, 30-an dan dia berharap warisan seni pembuatan seramik ini akan diteruskan.
“Walaupun tidak dipromosi secara besar-besaran, permintaan terhadap seramik ini tetap ada sama ada daripada orang perseorangan mahupun agensi kerajaan yang ingin menjadikannya sebagai cendera hati.
“Bagi memastikan pembuatan seramik ini tidak terus lenyap, kemahiran yang ada untuk menghasilkan seni kraf ini turut dikongsikan dengan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang datang ke bengkel mini saya bagi mempelajari selok-belok pembuatan seramik,” katanya. – BERITA HARIAN