Tumpuan :
Nasional

MyCC Pertimbang Failkan Semakan Kehakiman Terhadap Kes PIAM

Iskandar Ismail. – FOTO: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mempertimbangkan pilihan termasuk memfailkan semakan kehakiman berhubung keputusannya dalam kes membabitkan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail, berkata MyCC kini sedang menilai aspek lain berkenaan keputusan dikeluarkan Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) membabitkan kes terbabit termasuk memfailkan semakan kehakiman berkenaan.

“Ini kerana keputusan TRP mungkin menyebabkan kekeliruan mengenai tafsiran berhubung dengan perjanjian antipersaingan yang dibuat melalui persatuan.

“MyCC akan terus berusaha untuk melaksanakan mandatnya dengan cekap dan efektif berteraskan komitmen untuk memastikan budaya persaingan kekal kondusif dan pasaran berfungsi dengan baik demi kepentingan pengguna, perniagaan serta ekonomi,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, TRP membenarkan rayuan PIAM dan 22 ahlinya terhadap keputusan MyCC yang mengenakan penalti kewangan apabila pihak terbabit memeterai perjanjian berhubung pemberian diskaun jual beli ke atas harga alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam bagi kerja pembaikan kenderaan motor oleh bengkel di bawah ‘PIAM Approved Repairers Scheme’ (PARS).

Pada masa sama, Iskandar berkata, BNM dan PIAM menegaskan bahawa perjanjian antipersaingan itu dibuat berdasarkan arahan bank terbabit.

Malah, katanya, ia adalah pembelaan yang dikemukakan oleh syarikat insurans kepada TRP, yang turut disokong oleh BNM.

“MyCC ingin menegaskan bahawa TRP memutuskan bahawa suruhanjaya ini, mengikut sifat dan fungsinya sebagai badan separa kehakiman, diberi kuasa untuk mentafsir sesuatu peruntukan undang-undang sama ada ia relevan atau sebaliknya.

“Tafsiran undang-undang oleh MyCC yang memberi kesan terhadap bidang kuasa pengawal selia yang lain tidak boleh menghalang suruhanjaya ini daripada melaksanakan tugasnya,” katanya.

Beliau berkata, seterusnya, TRP memutuskan bahawa surat yang dikeluarkan oleh BNM yang digunakan oleh PIAM dan syarikat insurans tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu arahan.

Katanya, malah TRP berpandangan bahawa surat itu tidak menggunakan bahasa yang tepat untuk ditafsirkan sebagai suatu arahan seperti yang dinyatakan BNM.

“Seterusnya, TRP juga memutuskan bahawa BNM tidak menyatakan dengan jelas dalam suratnya bahawa ia mengarahkan PIAM dan syarikat insurans untuk memasuki perjanjian terbabit.

“Selaras dengan hasil dapatan MyCC dalam keputusan akhirnya, TRP memutuskan bahawa surat itu hanya menggesa pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian komersial, mempercepatkan rundingan dan mencapai persetujuan mengenai isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata, dalam mencapai keputusannya, TRP juga mengambil kira waktu pertama kali BNM menyatakan pendiriannya bahawa surat-surat tersebut adalah suatu arahan.

Katanya, TRP berpendapat sekiranya BNM sememangnya mengeluarkan arahan pada tahun 2011, ia akan menyatakan demikian pada 2015 apabila penyiasatan oleh MyCC dimulakan atau pada seawal mungkin selepas penyiasatan dimulakan.

“Sebaliknya, BNM hanya menyatakan bahawa surat itu adalah suatu arahan lebih kurang sebulan sebelum MyCC mengeluarkan keputusan cadangannya pada 2017. Atas dasar ini, TRP menolak rayuan BNM,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini