Tumpuan :
Nasional

Laporan Akhir Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan Dibentang 7 Oktober

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Laporan akhir oleh Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited untuk memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin serta menjadi keutamaan.

Beliau berkata, penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas itu yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sepanjang hampir sembilan bulan mulai 9 November 2021 hingga 30 Ogos 2022 adalah bukti jelas komitmen berkenaan.

“Dijelaskan bahawa Pasukan Petugas Khas terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes ini pada 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang.

“Pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan sudah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan Malaysia- Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi menjayakan tugasan sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan.

“Turut diadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini