KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sudah bertemu dengan keluarga wanita kemurungan yang hidup seperti gelandangan di Paya Bemban, di sini.
Pengarahnya, Said Sidup berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan keluarga kandung, keluarga angkat serta anak tunggal Masuri Aida Samsuddin, 45, berhubung penjagaan wanita terbabit.
“Kita dapat tahu wanita itu sedang menerima rawatan Unit Psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak sekian lama namun dalam beberapa bulan kebelakangan ini dia tidak meneruskan rawatan dan mendapatkan bekalan ubat atas faktor tidak dinyatakan.
“Kelmarin, kita sudah berbincang dengan bapa kandungnya yang menetap di Pasir Mas dan memaklumkan akan menjaga wanita itu kerana kami di pihak JKM tidak boleh mengambil alih menguruskannya kerana ada sejarah penyakit mental selain dia sendiri masih mempunyai keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Masuri Aida hidup seperti gelandangan apabila menjadikan tanah lapang di sebelah kawasan perumahan di Paya Bemban di sini, sebagai tempat berteduh.
Kelibat ibu tunggal itu dilihat di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan besen yang mengandungi barangan peribadi miliknya sebagai peneman dan setiap petang, anak perempuan tunggalnya yang berusia 18 tahun dan menetap bersama bekas suami wanita itu akan datang melawat.
Penduduk yang ingin dikenali sebagai Rosli, 50, berkata, sebelum menetap di kawasan lapang itu, sudah tiga bulan Masuri Aida berteduh di sebuah rumah teres kosong tidak jauh dari situ.
“Ketika itu saya melihat dia seperti tiada arah dan menyuruhnya berteduh di perkarangan sebuah rumah yang kebetulan tiada penghuni selama tiga bulan.
“Sebaik penyewa baru ingin masuk, wanita itu terpaksa keluar dan bermula dari hari itu dia tinggal di kawasan lapang ini yang mana pada sebelah malam pula dia akan melelapkan mata di sebelah sekolah dan berhampiran dengan pondok pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Tinjauan di lokasi mendapati wanita terbabit masih berada di kawasan lapang itu dan tanpa mempedulikan sesiapa dia melakukan rutin harian termasuk mengemas besen yang mengandungi barangan peribadi.
Rosli berkata, wanita itu akan membersihkan diri di sebuah masjid berhampiran sebelum kembali semula ke tempatnya berteduh dan untuk makan minumnya pula dibeli di kedai makan.
“Setiap hari anak tunggalnya akan datang melawatnya dan meluangkan masa beberapa jam sebelum pulang ke rumah bapanya dan saya difahamkan Masuri Aida sudah lama bercerai iaitu ketika anaknya masih bayi.
“Saya juga difahamkan bahawa dia akan terus menetap di sekitar kawasan ini kerana enggan berjauhan dengan anaknya malah dia pernah dibawa pulang ke rumah keluarga di Pasir Mas tapi kembali semula ke sini beberapa hari selepas itu,” katanya sambil memberitahu wanita itu pernah nyaris disamun oleh remaja nakal. – HARIAN METRO