comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Aman Shah Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Aman Shah, 68, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, di sini, jam 10 malam ini.

Jenazah Allahyarham Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim disolatkan di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras, selepas solat Isyak.

Lebih 100 ahli keluarga, rakan artis dan peminat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Antaranya, Datuk DJ Dave, Datuk Tumiran Mohd Kasdi, Yank Kassim dan Farouk Hussein.

Allahyarham Aman Shah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), jam 2.20 petang tadi.

Berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti itu disahkan anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff kepada BH Online.

Mohd Naufal berkata, bapa saudaranya dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu, namun, menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan Aman kritikal dan tidak stabil sehingga menghembuskan nafas terakhir di CCU, petang ini.

Allahyarham dilahirkan di Johor Bahru dikenali menerusi lagu Adikku Pandai Menari dan Kepulangan Yang Dinanti.

Selain penyanyi, aktor berwajah kacak itu turut dikenali sebagai pelakon. Selain filem Darah Satria yang pernah membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya perajurit, arwah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor.

Dilahirkan pada 26 April 1954, Aman Shah pernah mengurangkan aktiviti seninya kerana bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007.

Allahyarham Aman Shah meninggalkan enam cahaya mata. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini