comscore
Tumpuan :
Nasional

JAWI Saran Masjid, Surau Buat Solat Jenazah Ghaib Yusuf Qaradawi

Foto: Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disaran melaksanakan solat jenazah ghaib susulan pemergian ulama tersohor dunia Allahyarham Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata solat jenazah ghaib itu disaran dilakukan selepas solat Isyak malam ini untuk mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan Allahyarham.

Menurut beliau, pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kepada dunia Islam khususnya bagi umat Islam di Malaysia.

“Ini kerana ulama tersohor dunia itu banyak menyumbang khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya kepada ummah. Kami mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan para anbia dan solihin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, khabar duka pemergian ulama tersohor itu dimaklumkan oleh Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS).

Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, meninggal dunia pada usia 96 tahun, dan meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

Loading...
Terkini