PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan kempen kesedaran hentikan fitnah bagi membendung berita tidak benar yang semakin berleluasa di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata ketika ini ramai individu ingin menjadi wartawan dan kemudiannya menyebarkan berita di media sosial dengan tidak mematuhi etika kewartawanan demi mensasikan isu yang ingin dikongsikan.
Katanya, JAKIM tidak terkecuali terpalit perkara ini seperti isu halal sehingga menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, perbuatan fitnah dalam bentuk penulisan dan hantaran dengan perkongsian maklumat tidak tepat boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat dan dikhuatiri menjadi ikutan golongan muda.
“Budaya fitnah ini perlu dijauhi dan dibendung kerana ia juga boleh merosakkan diri individu difitnah sehingga menimbulkan kesan psikologi termasuk mengambil tindakan membunuh diri,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof.
Kempen dianjurkan JAKIM ini menampilkan beberapa selebriti terkenal antaranya Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib Sepahtu, pempengaruh Ryan Baker dan Ustaz Hariri Mohd Daud menerusi video klip.
Idris berkata, kempen diadakan ini bertujuan mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam dan nilai murni.
Katanya, orang ramai disaran menghentikan berita dan kandungan berunsur fitnah dan bersikap tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu setiap berita diterima.
“Fitnah mesti dihentikan di semua platform kerana ia satu dosa dan bertentangan kehendak agama Islam serta tidak membawa apa-apa keuntungan kepada diri dan negara,” katanya. – BERITA HARIAN