Oleh Zainal Za’aim Zainal Ratin
NEW YORK: Isu konflik di Ukraine, Palestin dan Myanmar akan menjadi intipati utama kenyataan negara yang akan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-77 pada 24 September ini.
Datuk Seri Ismail Sabri juga dijangka mengadakan pertemuan empat mata bersama pemimpin-pemimpin dunia dalam rangka lawatan kerja beliau ke New York, Amerika Syarikat bermula hari ini.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Saifudin Abdullah, selain isu iklim global dan pencabulan undang-undang antarabangsa, Perdana Menteri akan terus mempromosi konsep hidup bersama dalam budaya damai dalam menangani konflik dunia.
“YAB Perdana Menteri akan membawa konsep-konsep yang sealiran dengan Keluarga Malaysia seperti ‘peaceful coexistence’ sebagai resipi penting untuk kita mendapatkan dunia yang lebih aman”, ujar beliau.
Tambah beliau, tema sesi ke-77, Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif Kepada Cabaran Bersaling Kait adalah tepat pada masanya dan membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi sejagat.
Dalam acara luar persidangan, Perdana Menteri dijadual bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman, MoU antara Malaysia dengan Palestin.
Antaranya mengenai penubuhan mesyuarat jawatankuasa bersama serta kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan hal ehwal Islam.
Beliau juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte.
Datuk Seri Ismail Sabri akan mengakhiri lawatannya dengan menjadi hos majlis makan malam Keluarga Malaysia untuk diaspora Malaysia di New York.