Oleh Nur Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Jumlah import sektor agromakanan negara dijangka mencapai angka lebih RM75 bilion penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata peningkatan itu dilihat sebagai satu trend yang membimbangkan.
“Jumlah import sektor agromakanan membimbangkan sekali. Pada tahun 2020 adalah sebanyak RM55.4 bilion dan terus meningkat 2021 kepada RM63.6 bilion. Tahun 2022 pertengahan pertama Januari hingga Jun merekodkan RM36.6 bilion. Ia bermakna kadar itu akan menjangkau RM75 bilion hujung tahun ini,”
Jelasnya, kenaikan itu berpunca akibat daripada peningkatan kos pengeluaran makanan seluruh dunia.
Ia turut disumbangkan oleh ketidakstabilan geopolitik selain kesan cuaca melampau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab SOALAN Senator Datuk Nuing Jeluing di Dewan Negara pagi tadi.
Antara komoditi mempunyai nisbah kebergantungan yang tinggi adalah beras sebanyak RM1.27 billion, daging lembu atau kerbau RM1.59 bilion serta tepung gandum RM1.20 bilion.