Tumpuan :
Nasional

Identiti Majikan Tindas Pekerja Akan Didedah

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan percaya dengan usaha itu, majikan akan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka.

Beliau berkata demikian susulan makluman yang diterimanya mengenai satu kes melibatkan pembantu rumah yang bukan sahaja tidak dibayar gaji tetapi turut menjadi mangsa dera.

Mangsa adalah seorang warga Indonesia yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Susulan itu, saya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk menyiasat perkara ini.

“Hasil siasatan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak beliau mula bekerja dari tahun 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

“Majikan yang disyaki adalah pasangan suami isteri Vijiyan Rao A/L Subramanian dan Rineshinu Naidu A/P Kalaichelvan di Batu Caves, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes seperti ini adalah insiden yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka.

“KSM tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan mahupun asing.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa,” katanya.

Loading...
Terkini