Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Penduduk Kampung Teluk Paku, Kuala Terengganu, memupuk semangat patriotik pewaris bangsa dalam kalangan anak-anak berusia 5 hingga 15 tahun menerusi penganjuran Kayuhan Santai Merdeka.
Bulan Kebangsaan kali ini lebih meriah selepas sambutan secara besar-besaran tertangguh akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Seramai 30 kanak-kanak diiringi oleh petugas khas, begitu bersemangat menyertai dan menghias basikal mereka dengan konsep Jalur Gemilang.
Demi menyemai semangat patriotik, ibu bapa sanggup meluangkan masa dan tenaga menghias basikal anaknya bagi menyambut Hari Kebangsaan tahun ini.
Ada juga yang tidak kisah mengeluarkan belanja untuk kerja-kerja menghiasi basikal anak-anak mereka.

Selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu juga bertujuan menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.
Suasana bertambah meriah apabila peserta melaungkan ‘merdeka’ serta membunyikan loceng basikal masing-masing mengelilingi kampung.