Tumpuan :
Nasional

“Henti Spekulasi Kes Culik Azi”

FOTO: NSTP

PASIR MAS: Warganet dinasihatkan tidak membuat spekulasi berkaitan kes ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat, petang Selasa lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan itu perlu diambil untuk menjaga sensitiviti serta perasaan ahli keluarga mangsa yang masih trauma dengan apa yang terjadi.

Katanya, masyarakat juga perlu memberi ruang kepada polis untuk membuat siasatan sepenuhnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Kementerian juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa terutama ibu dan anaknya untuk memberi sokongan moral jika diperlukan melalui agensi yang bersesuaian membabitkan kaunselor atau pakar psikologi.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan permasalahan setiap ahli keluarga bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Simulasi dan Latihan Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata pihak JKM dalam proses menunggu keputusan mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan sementara kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang disyaki didera ibunya dalam kejadian di Kok Lanas, Kota Bharu.

“Kanak-kanak terbabit dicadangkan untuk ditempatkan di bawah rumah perlindungan JKM selama dua bulan sementara siasatan polis dilakukan terhadap ibu mangsa,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini