KUALA LUMPUR: Gred Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54 yang akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Guru Besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) juga tidak lagi akan diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).
“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah. – BERNAMA