KUALA LUMPUR: Duta Malaysia ke Romania, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin semalam meluangkan masa melawat dan memberi sokongan kepada lima wakil negara yang menyertai Kejohanan Catur Remaja Dunia di negara itu.
Kejohanan yang diadakan di Constanta, Romania itu adakan selama 11 hari, dijadual berakhir pada 21 September ini. Ia dianjurkan setiap tahun, namun dihentikan selama dua tahun sebelum ini akibat pandemik COVID-19.
Lima wakil yang membawa cabaran negara kali ini adalah Azraa Adeline Azman Mohd Azamanizam yang bersaing dalam kategori perempuan 14 tahun selain Uzair Shahar (terbuka 14 tahun).
Disamping itu, Megat Irfan Megat Muhammad Irfan M Mohd Nur (terbuka 14 tahun), Nazhan Syahmi Nizam (terbuka 16 tahun) dan Nur Faiqah Aminuddin (perempuan 18 tahun).
Ketika bersama lima wakil negara itu, Tengku Datuk Sirajuzzaman turut menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berjuang dan mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan.
Katanya, semangat juang wakil negara ini patut dipuji kerana sanggup membawa cabaran Malaysia pada kejohanan dunia walaupun sukan catur tidak kurang dikenali dan diangkat seperti sukan lain di negara ini.
Pemilihan lima wakil negara ini adalah berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di dalam sukan catur untuk tahun 2021 dan 2022.
Diharapkan dengan penyertaan mereka ini dapat menyuntik semangat kepada pemain remaja catur di Malaysia untuk bertanding di luar negara dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Dan dalam masa sama mendapat pengiktirafan dan perhatian dari badan sukan serta sektor korporat di Malaysia.
Pada kejohanan kali ini seramai 620 peserta mengambil bahagian yang mewakili 72 negara dari seluruh dunia. – BERITA HARIAN