comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL Gempur Kilang Ayam Kotor

FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Sebuah kilang penyembelihan ayam di Cheras di sini, diserbu selepas dikesan beroperasi dalam persekitaran kotor selain menggunakan khidmat berpuluh pekerja warga asing tanpa diberikan suntikan tifoid.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan pemilik kilang ayam itu dibongkar hasil operasi bersepadu dilakukan pihaknya bersama agensi Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Menurutnya, dalam serbuan jam 1 pagi semalam, pihak DBKL mendapati pusat penyembelihan ayam terletak mengabaikan aspek kebersihan.

“Pemeriksaan oleh 21 anggota penguatkuasa turut mendapati pusat penyembelihan ayam itu dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

“Lantai dan dinding di ruang memproses ayam berkarat, berlumut dan berdaki hitam. Ia mungkin berpunca aktiviti sembelihan ayam yang dilakukan di dalam premis,” katanya.

FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Selain itu menurutnya, semua pekerja atau pengendali makanan di premis itu tidak mendapatkan suntikan tifoid.

“Mereka turut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri masing-masing kerana hampir semua pekerja adalah warga asing.

FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

“Pusat penyembelihan ayam itu turut dikesan menjadi punca pencemaran apabila pemeriksaan lanjut mendapati tiada sistem penapisan sisa disediakan.
“Sisa penyembelihan dan darah ayam terus disalurkan ke longkang awam. Malah ayam mentah yang siap diproses diletakkan di atas lantai begitu sahaja,” katanya.

“Susulan itu tindakan diambil pihak DBKL dengan mengeluarkan dua kompaun selain Notis Perintah Penutupan di bawah Akta Makanan 1983 membabitkan arahan pembersihan dan penambahbaikan.
“Selain itu pihak JASWPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa,” katanya.

Loading...
Terkini