KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 tidak lama lagi sebagai komitmen kepada peralihan tenaga bagi mengurangkan pelepasan karbon, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, usaha kerajaan itu juga perlu disokong oleh pembabitan berterusan syarikat swasta dalam memastikan komitmen mengurangkan pelepasan karbon dapat dicapai.
Katanya, langkah Gentari Sdn Bhd (GENTARI), entiti di bawah PETRONAS adalah sangat signifikan untuk membantu Malaysia mencapai matlamat negara iaitu pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar pada tahun 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Sehubungan itu, langkah GENTARI adalah seiring dengan usaha kerajaan ke arah merealisasikan sasaran DTN menerusi inisiatif mobiliti hijau, tenaga boleh baharu, serta hidrogen sebagai sumber tenaga utama.
“Ia juga meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang tenaga hijau ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya ketika melancarkan GENTARI di sini, hari ini.
Ismail berkata, bagi merealisasikan matlamat-matlamat itu, pendekatan strategik perlu diambil oleh semua pihak yang tidak boleh mengamalkan sikap ‘perniagaan seperti biasa’ jika ingin berjaya beralih kepada penggunaan tenaga lestari.
Katanya, negara perlu bertindak segera secara menyeluruh dan membabitkan semua lapisan masyarakat untuk mengurangkan pelepasan karbon secara ketara menjelang 2030.
“PETRONAS sebagai syarikat milik negara berperanan sebagai pemangkin penggunaan sumber tenaga hijau di Malaysia.
“Usaha sama erat antara entiti tempatan dan global amat diperlukan untuk mengurangkan faktor kos, bagi memacu penerimaan tenaga boleh baharu dan tenaga baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak terbabit bagi menyelesaikan cabaran teknikal dan kos untuk memajukan sektor tenaga boleh baharu.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan geran promosi dan subsidi sedia ada untuk pengkomersialan serta penggunaan tenaga boleh baharu bersama teknologi berkaitan.
“Dalam masa yang sama, semua dasar berkaitan sektor tenaga akan dikaji semula termasuk manfaat Akses Pihak Ketiga (TPA) terhadap infrastruktur grid bagi memastikan hasrat ini dapat dicapai,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan turut sentiasa menitikberatkan pembangunan sumber hijau dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, satu lagi bentuk tenaga hijau yang akan menjadi tumpuan kerajaan adalah hidrogen, yang mampu menjadi pengubah industri.
Katanya, walaupun ia adalah suatu industri yang baharu, PETRONAS telah mengorak langkah untuk meneroka sumber tenaga ini berikutan medium yang fleksibel dalam pemindahan tenaga merentas sektor.
“Dalam meningkatkan penggunaan hidrogen, saya yakin GENTARI mampu mengenal pasti serta membangunkan kluster ekonomi hidrogen di Malaysia, seterusnya menjadikan negara sebagai hab eksport hidrogen yang kompetitif di rantau ini.
“Saya turut difahamkan GENTARI telah menandatangani 12 Memorandum Persefahaman dengan penggiat sektor hidrogen antarabangsa dalam memanfaat kelebihannya sebagai penggerak utama tenaga hijau ini.
“Bagi sektor ini, kerajaan juga akan menggalakkan lebih banyak usaha sama antara negara bagi memudahkan perkongsian teknologi dan amalan terbaik,” katanya. -BERITA HARIAN