KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mengazetkan terma khas untuk rasuah bagi mencegah dan mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dalam membendung gejala itu di peringkat awal.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mencadangkan terma Rasuah Musuh Nombor Satu Negara digazetkan berikutan ia lebih berkesan dalam aspek pendidikan dan pencegahan awal.
“Walaupun kedudukan Malaysia dalam hal berkaitan rasuah kedua yang terbaik di rantau Asean, kita janganlah bersikap in denial atau menafikan ia sedang bertambah dari semasa ke semasa.
“Terma Rasuah Musuh Nombor Satu Negara bersesuaian dengan keadaan rasuah dalam negara ini yang dilihat semakin teruk, jadi apabila ia digunakan secara tidak langsung masyarakat tahu rasuah itu musuh yang patut dijauhi.
“Pada masa sama, penggunaan terma ‘najis rasuah’ juga bersesuaian untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menunjukkan rasuah itu amat jijik,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas keperluan penggunaan terma ‘najis rasuah’ seperti digunakan untuk dadah.
Mengulas lanjut isu itu katanya, individu yang mengambil rasuah boleh diumpamakan sebagai penagih dadah yang sukar dikawal kerana sudah ketagihan.
“‘Penagih’ rasuah amat sukar dikawal kerana mereka merasa ‘keenakannya’ dan sentiasa mahu tambahan kerana gaya hidup mewah yang melampaui pendapatan.
“Jadi, terma berkenaan penting demi memberi kesedaran awal dan meningkatkan komitmen setiap agensi dalam menguatkuasakan peraturan dalaman iaitu ‘pil’ yang terbaik dalam mencegah dan membendung rasuah,” katanya.
Menurutnya, Malaysia mempunyai perundangan yang baik, namun ia perlu dikuatkuasakan dengan lebih ketat dan pantas.
“MCW pernah melawat Filipina dan kami melihat hampir 20 undang-undang antirasuah dilaksanakan di negara itu, namun masih gagal mengekang masalah berkenaan.
“Pelbagai pendedahan kes rasuah dipaparkan di media boleh menyebabkan rasuah semakin berleluasa, namun sebaliknya ia juga penting untuk menakutkan pelaku rasuah yang belum ditangkap.
“Kita boleh mengawal masalah ini dari terus menjadi ‘barah’ atau pandemik yang akan memusnahkan ketamadunan Malaysia.
“Justeru, komitmen semua pihak amat penting terutama dengan mengamalkan falsafah Pencegahan Rasuah Bermula Dari Diri Sendiri,” katanya.-BERITA HARIAN