JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) menafikan pintu Empangan Sungai Sembrong di Batu Pahat dibuka susulan banjir kilat berlaku di Sri Gading seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Johor Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata setakat ini pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perkara itu.
“WhatsApp berkenaan mendakwa APM memaklumkan pintu empangan tersebut telah dibuka berikutan banjir kilat di Batu Pahat, sedangkan pihak kami tidak dapat apa-apa maklumat itu.
“Justeru, APM menafikan dan ia tidak berlaku. Mesej tular itu adalah palsu,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Terdahulu, tular di WhatsApp mendakwa APM telah membuka pintu Empangan Sungai Sembrong susulan banjir kilat akibat pertembungan hujan lebat sejak pagi tadi dan air pasang.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat memaklumkan seramai 163 penduduk daripada 38 keluarga dari Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung di Batu Pahat ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.
Menurut kenyataan itu, PPS berkenaan mula beroperasi 1 tengah hari tadi dan jumlah mangsa adalah seramai 163 orang daripada 38 keluarga, setakat 8 malam tadi.
“Banjir kilat di lima lokasi itu berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 4 pagi dan air pasang,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah dilaporkan berkata dianggarkan seramai 600 penduduk di beberapa kawasan di Sri Gading dipindahkan ke PPS SMK Sri Gading setelah kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat awal pagi tadi. — BERNAMA