comscore
Tumpuan :
Nasional

370 Penduduk Pulau Tioman Disaring Melalui NHSI, PeKa B40

PUTRAJAYA: Program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) telah menyaring 370 penduduk Pulau Tioman ketika program berkenaan dilaksanakan di pulau berkenaan bermula Rabu lepas (28 Sept).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata program berkenaan yang berakhir hari ini (30 Sept) menyasarkan sejumlah 559 penduduk Pulau Tioman yang berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan kesihatan sama ada melalui NHSI atau Skim PeKa B40.

Beliau berkata program saringan itu dilaksanakan di beberapa lokaliti Pulau Tioman antaranya Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang, Kampung Genting, Kampung Mukut dan Kampung Paya.

“Berdasarkan keputusan lengkap saringan yang dilakukan, pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh serta rujukan lanjut kepada pakar bidang perubatan yang berkaitan akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai program berkenaan.

Pelaksanaan program berkenaan diharapkan dapat membantu penduduk Pulau Tioman untuk mengetahui status kesihatan kendiri yang membolehkan mereka mendapatkan rawatan awal sekiranya perlu, serta memberi peluang kepada penduduk setempat yang layak untuk Skim PeKa B40 mendapat manfaat daripadanya, katanya.

Dr Noor Hisham berkata selepas 30 Sept, program NHSI di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) akan diteruskan di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman.

Aktiviti jangkau luar juga akan terus dijalankan bagi membantu pesakit yang terlantar di rumah, warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke pusat saringan, katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini