Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, siap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga awal Mac 2023
30 kawasan dikenal pasti berisiko dinaiki air di seluruh Terengganu.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin berkata, kebanyakan kawasan yang dikenal pasti adalah kawasan rendah dan pinggiran sungai.
Kawasan berkenaan melibatkan tiga di daerah Kemaman, empat di Dungun, lima di Setiu, empat di Marang serta tujuh masing-masing di daerah Besut dan Hulu Terengganu.
Antara kawasan yang sering dinaiki air adalah Air Puteh, Seberang Tayor dan Bukit Mentok di Daerah Kemaman; Pasir Raja dan Kuala Jengal di Dungun; Kampung Seladang di Setiu dan Kampung Lubok Periuk di Hulu Terengganu.
APM akan mengerahkan segala aset yang ada bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan cepat.