comscore
Tumpuan :
Nasional

3 Kapal OPV Maritim Malaysia Belum Siap

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiga Kapal Peronda Luar Persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sepatutnya diterima pada 2020 masih sedang dalam pembinaan oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini masih gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara turut menyumbang kepada kelewatan penyerahan kapal-kapal tersebut kepada Maritim Malaysia.

Syarikat akan mengubah kepada cara pelancaran daripada ‘Launching Cradle’ kepada sistem pelancaran ‘Air Balloon’ dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau lagi, kapal OPV 1 besar kemungkinan dapat diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia pada awal tahun depan sekiranya semua berjalan lancar dan jika pelancaran berkenaan dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan.

Kapal OPV 2 dan OPV 3 pula akan diserahkan secara berperingkat.

“Adalah besar harapan agensi ini agar ketiga-tiga kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia dengan kadar segera walaupun ianya telah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.

“Ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh pihak Maritim Malaysia pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya.

Loading...
Terkini