comscore
Tumpuan :
Nasional

2 Kes Rabies Baharu Di Sarawak

Gambar hiasan

Kes rabies di Sarawak meningkat kepada lapan setakat tahun ini setelah dua lagi kes baharu dilaporkan, satu daripadanya telah menyebabkan kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mangsa adalah seorang lelaki berusia 58 tahun, meninggal dunia pada 25 Nov yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dijangkiti rabies meningoencephalitis, empat hari selepas dia dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dari Hospital Lundu.

Dr Noor Hisham berkata lelaki berkenaan (kes kelapan) telah dimasukkan ke Hospital Lundu pada 19 November, selepas mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum, selain menunjukkan gejala sakit dan lemah badan selama tiga hari, sebelum dipindahkan ke HUS apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk.

“Mendiang pernah mempunyai sejarah digigit anjing liar dua tahun lepas semasa berburu di dalam hutan, namun beliau tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan, selain mendedahkan lelaki itu ada membela lima ekor anjing tetapi kesemuanya disahkan negatif rabies oleh Jabatan Veterinar Sarawak.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kes ketujuh melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun yang digigit di bahagian mukanya oleh seekor anjing milik jirannya ketika cuba menyelamatkan kucing milik neneknya yang diserang anjing berkenaan pada 2 November lepas.

“Kanak-kanak itu terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti-rabies. Kes telah discaj dalam keadaan sihat pada 6 November namun, pada 13 sehingga 15 November, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan kemerosotan kesihatan itu, kanak-kanak itu telah dimasukkan ke HUS pada 16 November untuk rawatan lanjut dan disahkan dijangkiti virus rabies pada 25 November melalui ujian makmal oleh IMR.

“Anjing (yang menggigit kanak-kanak) ini telah ditangkap oleh pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November dan disahkan positif virus rabies pada 18 November,” katanya, sambil menambah kanak-kanak itu masih lagi menjalani rawatan di HUS dan dalam keadaan stabil.

Menurutnya pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes rabies di Sarawak meningkat kepada 30 kes dengan 28 kematian sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

“Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal. (Ini menunjukkan) kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan,” katanya selain menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit rabies.

Langkah-langkah ini termasuk mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur; Segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat;

Memastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dan mengelakkannya bercampur dengan anjing atau haiwan liar; menghantar anjing atau kucing peliharaan yang berubah tingkah laku untuk rawatan segera di klinik haiwan dan melaporkan kepada Jabatan Veterinar;

Melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan. – Bernama

Loading...
Terkini