KUALA LUMPUR: Rakaman keterangan remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dimainkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Video terbabit memaparkan remaja berusia 13 tahun itu yang didakwa diabaikan dan didera pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ditemubual oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas diselamatkan pada 12 Julai 2021.
Bagaimanapun, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor memohon galeri awam dikosongkan dan hanya hakim, pendakwaan dan pembelaan dibenarkan untuk menonton video terbabit memandangkan Bella bawah umur yang dilindungi mengikut Seksyen 6 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berkata, rakaman berkenaan sebagai tambahan kepada keterangan yang akan diberikan Bella sebagai saksi di mahkamah akan datang.
“Kami memanggil Bella sebagai keterangan utama. Rakaman video ini sebagai tambahan memandangkan kami sudah memberikan transkrip rakaman kepada pihak peguam,” katanya dalam prosiding, hari ini.
Terdahulu, Nor Azizah memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes pada hari ini, sepatutnya diteruskan dengan keterangan oleh Pakar Psikiatri.
Namun katanya, saksi pendakwaan itu tidak dapat hadir kerana terbabit sesi pembentangan berkaitan kepakaran beliau.
“Pihak kami (pendakwaan) ada seramai lima lagi saksi akan dipanggil iaitu Pakar Psikiatri, doktor klinik, dua pegawai penyiasat dan Bella. Saksi selepas pakar psikiatri adalah Bella.
“Kami berpendirian pakar psikiatri perlu membantu mahkamah memahami ketidakupayaan dan kebatasan intelektual Bella. Pakar itu boleh beri contoh soalan yang boleh dikemukakan kepada Bella sebelum kanak-kanak itu dipanggil selepas itu untuk beri keterangan.
“Pada hari ini, kami bersetuju untuk rakaman CIC Bella ditayangkan terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, Nur A’minahtul berkata, pihaknya tiada bantahan terhadap alasan ketidakhadiran saksi pendakwaan dan prosiding hari ini diteruskan dengan rakaman keterangan CIC ditayangkan.
“Kami hanya mohon pendakwaan pastikan ada saksi pada tarikh perbicaraan akan datang bagi mengelakkan kes tertangguh,” katanya.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada 21 September ini. – Harian Metro