Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Bekas Setiausaha dan Bendahari UMNO Bahagian Pulau Pinang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dengan mengeluarkan wang parti lebih RM600,000 bagi kegunaan peribadi dan syarikat milik sendiri.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 49 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Rosnee Mohd Radzuan bermula hari ini hingga 19 September.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dilakukan terhadap kedua-dua suspek.
Kedua-dua suspek yang diwakili peguam Norhisham Shaidi terdahulu dibawa ke Mahkamah George Town pada jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
Difahamkan, mereka ditahan SPRM Pulau Pinang semalam, selepas menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasa ketika mereka memegang jawatan itu.
Mereka disyaki bersubahat dalam menggunakan kedudukan mereka bagi membuat pengeluaran wang daripada akaun bank milik UMNO Bahagian pada tahun 2018.
Wang terbabit dipercayai bagi kegunaan mereka serta syarikat dengan jumlah keseluruhan RM600,364.87.