PENDANG: Pemandu sebuah bas persiaran bersama 29 penumpang melalui detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di di Kilometer 60 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini hari ini.
Semua mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat dalam kejadian itu, walaupun ada beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Ehsan Mohd Zain, mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan jam 3.25 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi, dengan dibantu BBP Jalan Raja dan Pendang.
“Sebaik tiba, bas persiaran terbabit didapati berada di dalam parit di bahu kiri jalan selepas dikatakan terbabas.
“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan tersepit dan mereka berjaya keluar dengan sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Ehsan berkata, anggota di lapangan kemudian membantu dengan memberikan rawatan awal kepada mangsa, sebelum operasi ditamatkan. -BERITA HARIAN