Tumpuan :
Jenayah

Sungai Golok ‘Laluan Penyelamat’ Untuk Penjenayah Lolos

Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Kelantan dipercayai sering menjadi laluan untuk mana-mana penjenayah melarikan diri.

TUMPAT: Sungai Golok di Pengkalan Kubor, di sini, dipercayai sering menjadi laluan untuk mana-mana penjenayah melarikan diri terutama jika kes yang berlaku di sekitar daerah ini.

Jarak sepanjang 14 kilometer (km) bermula daripada Kuala Takbai hingga ke Kampung Kuala Jambu membolehkan penjenayah boleh memilih mana-mana pangkalan haram yang wujud di tebing Sungai Golok.

Menurut seorang penduduk ingin dikenali sebagai Pak Su, 60-an, Sungai Golok diibarat sebagai ‘laluan penyelamat’ bagi penjenayah yang ingin melarikan diri namun anggapan itu tidak selalunya tepat kerana pihak berkuasa kedua-dua negara menjalankan kerjasama jika membabitkan kes besar.

“Sejak dulu lagi Sungai Golok sering terpalit dengan kegiatan yang tidak elok dan selain sinonim dengan aktiviti penyeludupan, sungai ini juga menjadi pilihan untuk penjenayah melarikan diri.

“Walaupun pihak berkuasa sering membuat kawalan dan terdapat beberapa sekatan pintas Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, mereka (penjenayah) akan mencari laluan alternatif lain untuk tiba di tebing Sungai Golok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, insiden penemuan mayat atau rangka manusia terapung di Sungai Golok juga boleh dikatakan sudah biasa dilihat penduduk di sekitar tebing sungai itu dan sekaligus mengaitkannya dengan kes jenayah.

Warga emas itu berkata, paling bahaya adalah jika ada yang terbabit dengan sindiket dadah kerana berdasarkan apa yang diketahuinya daripada rakan dan sanak saudara di seberang, mereka sukar untuk berkompromi.

“Bukan untuk menakut-nakutkan tapi kebiasaannya jika ‘cari pasal’ dengan sindiket dadah di sana (Thailand), peluang untuk selamat itu tipis malah ada yang hilang tanpa jejak,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung yang enggan dikenali tinggal dan tinggal hanya beberapa meter saja dari Sungai Golok berkata, sungai itu aktif digunakan walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Dia berkata, selain menjadi laluan untuk menyeberang antara dua negara, aktiviti jenayah rentas sempadan juga berterusan terutama penyeludupan barangan kawalan yang sudah menjadi tradisi penduduk setempat.

“Walaupun kegiatan itu sudah biasa, ada masanya timbul kebimbangan kepada kami yang tidak terbabit kerana apa saja boleh berlaku.

“Baru-baru ini kami dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dengan kaki tangan diikat serta muka ditutup terapung di Sungai Golok dan difahamkan sehingga kini masih belum dikenal pasti identitinya,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini