comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua Premis Jual Android Box Diserbu

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dua premis di dalam sebuah pusat membeli-belah di Jalan Bukit Bintang, ibu negara diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual alat teknologi penstriman (android box).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan pada 15 September lalu dilakukan hasil daripada maklumat dan aduan pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari.

“Serbuan bermula pada jam 1.30 petang dengan kekuatan seramai tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hak cipta dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan juga menahan dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Pihak KPDNHEP telah menambah baik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

“Ia memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Azman turut mengingatkan semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman kerana ia berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara tersebut boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian.

Aduan boleh dibuat menerusi saluran whatsApp di talian 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal Aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; emel ke [email protected]; atau di aplikasi Ez ADU KPDNHEP.

Loading...
Terkini