LONDON: Kilang Wang Diraja Britain, Royal Mint, mengumumkan syiling pertama yang diukir dengan wajah Raja Charles III sudah siap.
Justeru, rakyat Britain boleh menyaksikan imej Raja yang baru ditabal itu pada syiling 50 penny bermula sekitar Disember ini dan akan diedarkan secara berperingkat.
Menurut Royal Mint hari ini, ukiran diraja yang dicipta pengukir British, Martin Jennings, memperoleh kelulusan secara peribadi daripada Charles.
Ia selaras dengan tradisi yang memperlihatkan potret Raja menghadap ke kiri iaitu arah bertentangan dengan ibunya, mendiang Ratu Elizabeth II.
“Charles mengikuti tradisi umum yang kita lakukan untuk syiling British. Sebenarnya Charles sendiri mahu wajah monarki itu menghadap ke arah bertentangan berbanding mendiang bondanya,” kata Chris Barker dari Muzim Royal Mint.
Potret Charles pada syiling berkenaan diukir tanpa mahkota. Tulisan bahasa Latin yang mengelilingi potret itu membawa maksud ‘Raja Charles III, dengan Rahmat Tuhan, Pelindung Agama’.
Turut dilancarkan pada Isnin depan adalah syiling bernilai 5 paun, sebagai memperingati kehidupan dan warisan mendiang Ratu Elizabeth II.
Satu sisi syiling berkenaan menampilkan Charles, manakala bahagian belakang syiling itu menampilkan dua potret baharu Elizabeth yang diletak bersebelahan.
Berpusat di selatan Wales, Royal Mint dipertanggungjawabkan untuk mengukir potret wajah keluarga diraja Britain pada syiling sejak lebih 1,100 tahun.
Ketua Eksekutif Royal Mint, Anne Jessopp, berkata dokumentasi membabitkan setiap monarki bermula sejak pemerintahan Raja Alfred lagi.
“Pada mulanya kami menghasilkan syiling. Itu satu-satunya cara orang mengetahui rupa Raja sebenarnya dan bukan seperti zaman media sosial seperti sekarang,” katanya.
Selepas ini, tambah beliau, potret Charles akan ada pada setiap syiling.
Sementara itu, Jennings berkata beliau mengukir syiling berwajah Raja Charles dengan berpandukan foto baginda.
“Ia adalah karya terkecil yang saya cipta, tetapi saya ikhlas dan rendah hati mengetahui ia akan dilihat dan dipegang oleh orang di seluruh dunia berkurun lamanya,” katanya. – AP