comscore
Tumpuan :
Dunia

Kewujudan Kesatuan Komanwel Dipertikai

 

Oleh Haniza Hanafiah

PETALING JAYA, Selangor:  Kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu mengejutkan dunia, selepas menduduki takhta selama 70 tahun dengan puluhan negara berada di bawah jajahan England.

Kini timbul topik perbincangan sama ada fungsi Kesatuan Komanwel perlu dinilai semula atau diteruskan.

Persoalan itu wujud selepas banyak negara mahukan transformasi dilakukan agar menjadi lebih relevan untuk negara anggota pada masa akan datang.

FOTO: REUTERS

Menurut Profesor Dr. Mohd Mizan Aslam dari Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sepanjang pemerintahan Elizabeth II yang ditabal menjadi ratu pada 1953, puluhan negara telah mendapat kemerdekaan

Malah, England melihat keperluan untuk mengekalkan kestabilan dan kerjasama antara negara-negara ini yang secara sukarela di bawah Kesatuan Komanwel .

Ia digunakan sebagai platform untuk menyuarakan apa sahaja isu berkait negara, serantau dan antarabangsa terutama dalam lingkungan negara-negara bekas jajahan England.

Namun kewujudan dan fungsi Komanwel itu kini dipertikaikan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II, sekali gus mewujudkan cabaran besar bagi pewaris tahta, Raja Charles III.

FOTO: REUTERS

“Raja Charles juga mempunyai satu cabaran yangg besar iaitu apabila sudah ada suara yang mempertikaikan keabsahan dan keharusan wujudnya Kesatuan Komenwel itu, adakah ia sesuai atau tidak lagi sesuai, adakah ia melanggar perlembagaan sesebuah negara yang berdaulat dan sebagainya.”

“Maka di sinilah menjadi satu cabaran bagi Raja Charles III untuk meyakinkan negara di bawah jajahannya, negara Komanwel untuk terus duduk dalam kesatuan itu atau memungkinkan insentif-insentif yang berbeza tetapi jika tidak, pastinya suara-suara ingin menghapuskan Komanwel itu dan juga untuk tidak lagi bernaung di bawah nama England itu akan wujud dan akan terus berkembang di seluruh dunia.” katanya.

Tambah beliau, suara-suara yang mempertikaikan sistem monarki di England sudah mula didengari sejak 2009.

Dengan perubahan struktur geopolitk ekonomi dunia serta ditambah pula dengan isu Brexit serta perubahan dalam kepimpinan kerajaan England itu sendiri, wujud persoalan sama ada masyarakat akan terus menerima institusi beraja untuk terus kekal di England.

“Seperkara lagi yang seharusnya difikirkan dengan cukup teliti oleh Raja Charles III ialah untuk memenangi hati rakyat jadi kita lihat apabila berlakunya perubahan struktur geopolitik ekonomi dunia, dengan Brexit dan perubahan kepimpinan di England itu sendiri dan juga keadaan ekonomi yang cukup tidak baik terutama di England, adakah masyarakat akan terus menerima institusi beraja ataupun monarki untuk kekal di England” .

Yang pasti jika berlakunya kejatuhan sistem monarki di England dan ianya akan menjadi seperti “Domino Effect” atau Teori Domino yang mana akan menyebabkan juga sistem beraja ataupun monarki negara-negara lain akan menerima tempias dan juga mungkin akan dipertikaikan juga kerana sudah banyak negara membuang sistem raja kerana dianggap tidak perlu atau signifikan bagi negara tersebut.”  katanya.

Melihat kepentingan Malaysia dalam Komanwel pula, beliau berkata, tiada keperluan keberadaan dalam Komanwel kerana ia tidak menguntungkan dari segi ekonomi.

Malah peranan Komanwel diganti dengan pelbagai platform seperti G20, Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM, Asean-Amerika Syarikat dan lain-lain lagi.

Tidak kurang pula dengan pelbagai agenda barat seperti LGBT, liberalisme dan lain-lainnya yang juga dipelopori melalui medium Kesatuan Komanwel seperti yang berlaku pada tahun 2013 di Colombo.

Malaysia katanya perlu melihat semula, jika kita terikat dengan pelbagai ‘peruntukkan’ yang dicadangkan oleh pihak-pihak tersebut, adakah ianya akan memberi kesan hingga boleh menyebabkan negara menerima tekanan dan sekatan.

Loading...
Terkini