comscore
Tumpuan :
Politik

Calon PN harap pengesahan UMPSA tutup mulut pihak pertikai kesahihan kelulusan akademiknya

Calon PN, Khairul Azhari Saut (dua dari kanan) dengan calon PH, Pang Sock Tao ketika kedua-duanya melakukan walkabout di pasar pagi Batang Kali pada kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu hari ini. Foto NSTP

HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut berharap tiada lagi isu peribadi yang akan dijadikan ‘senjata’ bagi menyerangnya sepanjang kempen pilihan raya kecil ini.

Pemangku BERSATU Hulu Selangor itu berkata pengesahan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengenai kesahihan akademiknya itu ‘menutup mulut’ pihak yang mempertikaikannya.

“Pengesahan kelayakan sudah dilakukan dan yang penting, kita mahu jadi pemimpin berintegriti dan tidak perlu menipu.”

“Jangan gunakan lagi isu ini untuk serangan peribadi. Kita kempen secara baik, serangan peribadi ini tidak bagus,” katanya ketika ditemui selepas program masyarakat di Kampung Chuang, di sini, hari ini.

Kontroversi membabitkan kelayakan pendidikan Khairul Azhari diperdebatkan kononnya kerana beliau memiliki ijazah sarjana tanpa ijazah sarjana muda.

Sementara itu, ditanya mengenai pendekatan meraih undi bukan Melayu, beliau menjelaskan, PN menyantuni semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan warna kulit.

“Kita tahu sebelum ini (ketika) PN jadi kerajaan, kita santuni semua orang selagi semua adalah rakyat Malaysia (kerana) mereka berhak mendapat apa yang patut diperoleh.”

“Pastinya kita mengharapkan pengundi bukan Melayu melihat apa rekod yang kita telah buat walaupun dalam masa yang pendek, semua dapat manfaat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini